News Details

AlloyMtd intai peluang pelaburan di wilayah utara, selatan Filipina
Date: Thursday, 15 May 2014
Category: Publication – Utusan Malaysia

AZMIL Khalid (kanan) dan Manny Pacquiao mengadakan sidang akhbar bersama di Ibu Pejabat AlloyMtd di Kuala Lumpur, semalam

KUALA LUMPUR 14 Mei – Syarikat infrastruktur multinasional, Kumpulan AlloyMtd sedang mengintai peluang pelaburan di wilayah utara dan selatan Filipina iaitu di Sarangani dan Ilocos Sur bagi mengembangkan penguasaan syarikat di negara terbabit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AlloyMtd, Datuk Dr. Azmil Khalid berkata, syarikat kini dalam perbincangan dengan delegasi dari Filipina untuk mengenal pasti peluang perniagaan strategik yang boleh diceburi dalam mengukuhkan lagi hubungan perniagaan antara Malaysia dan Filipina.

Beliau berkata, perbincangan itu merupakan titik permulaan bagi syarikat mengembangkan lagi perniagaan mereka di Filipina setelah berjaya melaksanakan beberapa projek di negara berkenaan.

Tambah beliau, pihaknya yakin dengan potensi yang terdapat di kedua-dua wilayah berkenaan yang mampu memberi kesan positif terhadap kedudukan ekonomi kedua-dua negara.

"Wilayah Sarangani merupakan pintu masuk ke Mindanao manakala Ilocos Sur pula merupakan wilayah yang penuh dengan kesan sejarah, jadi jika kedua-dua wilayah ini dibangunkan sudah tentu akan menambah nilai positif serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi Filipina dan Malaysia dalam jangka masa panjang." katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir, juara tinju dunia yang juga Ahli Kongress Filipina, Manny Pacquiao serta bekas Gabenor Ilocos Sur, Chavit Singson yang sedang dalam lawatan dua hari ke Malaysia bagi membincangkan peluang perniagaan di negara terbabit.