News Details

'Pacman' percaya bakat Asia
Date: Thursday, 15 May 2014
Category: Publication – Harian Metro

PACQUIAO (tengah) anggap aksi tahap tinggi dan pendedahan awal beri kelebihan pada peninju negara.


Bintang tinju dunia, Manny Pacquiao percaya lebih ramai bakat baru rantau Asia Tenggara ini mampu mengikut jejak langkahnya bergelar peninju profesional jika ekosistem serta diberikan pendedahan secukupnya di peringkat antarabangsa.

Peninju kelahiran Filipina yang digelar 'Pacman' itu berkata, kualiti dimiliki peninju benua Asia terutama Malaysia dilihat semakin meningkat, namun kurangnya menyertai kejohanan berkelas dunia sedikit sebanyak membantutkan kelahiran lebih ramai peninju bertaraf profesional.

"Rantau ini memiliki ramai peninju berbakat dan boleh diketengahkan di peringkat lebih tinggi. Saya bermula seawal usia 16 tahun dan ketika itu masih mentah lagi.

"Tapi berbekal aksi tahap tertinggi yang dilalui sejak remaja akhirnya membuahkan hasil hingga berjaya bergelar juara dunia," katanya

Masih segar dengan kejayaan merampas kembali gelaran welterweight Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) daripada peninju Amerika Syarikat Timothy Bradley, 12 April lalu, dia menaruh harapan melihat muncul peninju dari Malaysia bertarung dalam saingan WBO.

"Walaupun saya tidak begitu mengenali peninju negara ini, saya yakin persatuan di sini (Persatuan Tinju Amatur Malaysia) sudah melakukan pelbagai usaha untuk menaikkan imej sukan tinju.

"Nasihat saya, mereka (peninju) harus sentiasa diberi pendedahan dan sokongan tidak kira menang atau kalah. Kepada peninju pula, fokus dan sayangilah sukan tinju ini sepenuh jiwa dan raga," katanya.

Pada pertarungan hebat di Las Vegas bulan lalu, Pacman menewaskan Bradley hasil kemenangan menerusi kiraan mata sekali gus berjaya membalas dendam kekalahan mengejutnya pada 2012.

Kesemua tiga pengadil memberi kemenangan mutlak kepada Pacquiao pada pertarungan disiar secara langsung di Filipina itu.