Category: Publication – Berita Harian
Lebuh raya itu akan menghubungkan South Luzon Expressway (SLEX) dan Manila Cavite Expressway (CAVITEX).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AlloyMtd, Datuk Dr Azmil Khalid (gambar), berkata kumpulan itu menerusi anak syarikatnya MTD Capital Bhd menjadi satu-satunya pembida dari luar republik itu dalam kalangan empat syarikat yang disenarai pendek untuk melaksanakan projek berkenaan.
Beliau berkata, keputusan bidaan itu pada awalnya dijadualkan diketahui pada 21 Mei ini tetapi ditangguhkan ke 2 Jun ini.
Optimis menang bidaan
"Berdasarkan reputasi sebagai syarikat pembinaan dan prasarana antarabangsa serta kejayaan dalam projek kami di Filipina sebelum ini, kami optimis untuk memenangi bidaan berkenaan," katanya pada majlis menerima kunjungan juara tinju dunia yang juga ahli politik Filipina, Emmanuel Manny Pacquiao ke ibu pejabat AlloyMtd di Kuala Lumpur, semalam.
Pacquiao dalam rangka lawatan dua hari ke Kuala Lumpur dan kunjungannya ke ibu pejabat AlloyMtd diiringi bekas Gabenor Ilocos Sur, Chavit Singson, yang bertujuan meneroka potensi perkongsian perniagaan di Filipina.
AlloyMtd kini agresif menerokai peluang perniagaan di Filipina, terutama selepas berjaya menyiapkan projek pemulihan, pembangunan dan penyenggaraan South Luzon Expressway (SLEX).
Kumpulan itu juga melaksanakan pembangunan pusat kerajaan serantau di Filipina yang digelar sebagai Mini Putrajaya untuk Calamba City Council yang dijadual dilancarkan pertengahan tahun ini.
Azmil berkata, AlloyMtd amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan delegasi perniagaan dari Filipina untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang strategik bagi meningkatkan dan mengukuhkan hubungan perniagaan antara Malaysia dan republik berkenaan.