News Details

AlloyMtd angkat imej Malaysia
Date: Tuesday, 23 December 2014
Category: Publication – Utusan Malaysia

SEBAGAI sebuah syarikat yang telah terlibat dengan pembangunan beberapa projek mega di luar negara, nama AlloyMtd masih lagi asing dalam kalangan warga tempatan.

Meskipun, nama syarikat pembangunan infrastruktur yang berpangkalan di Malaysia ini cukup popular di luar terutamanya Filipina ketika ini, tetapi hakikatnya AlloyMtd tidak begitu `mesra’ di telinga penduduk tempatan.

Walau bagaimanapun, itu bukanlah penghalang kepada AlloyMtd untuk terus mengecapi kejayaan dan menempa nama sebagai salah sebuah syarikat dari negara ini yang mampu bersaing dengan pemain industri global.

Publisiti yang kurang terhadap AlloyMtd itu bukanlah bermaksud wujudnya ‘ pemulauan’ tetapi syarikat itu sendiri yang lebih selesa merendah din dan tidak terlalu cepat mendabik dada menguaruarkan kejayaan mereka.

AlloyMtd yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulannya, Datuk Dr. Azmil Khalid lebih gemar memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaksanaan projek-projek yang membabitkan penglibatan syarikat berkenaan terlebih dahulu.

Bagi Azmil, apabila meneroka pasaran antarabangsa, AlloyMtd bukan hanya membawa nama syarikat itu, tetapi juga mewakili Malaysia. Disebabkan itu, beliau dan seluruh tenaga kerja AlloyMtd lebih selesa memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek yang diberikan, bagi memastikan mereka memberi yang terbaik dan menjaga nama baik negara.

“Wang, rezeki boleh dicari, tetapi sekirainya nama negara dan imej syarikat tercemar, semua perancangan yang dirangka boleh musnah dalam sekelip mata. Kami tidak mahu menjadi syarikat yang masuk ke negara orang dan kemuka pelbagai idea serta perancangan tetapi tiada pelaksanaan.

“Oleh itu saya ambil pendekatan, kalau kami boleh laksanakan projek yang ditawar, kami terima, tetapi sekiranya kami rasakan tidak mampu, kami akan berterus terang. Kami tidak mahu nama AlloyMtd dan lebih penting imej Malaysia tercemar disebabkan perkara ini,” katanya kepada media Malaysia selepas majlis perasmian fasa pertama Pusat Kerajaan Wilayah (RGC) Calabarzon di Calamba City dekat Manila baru-baru ini
Sebagai rekod, antara projek yang dibangunkan AlloyMtd di dalam negara termasuklah Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Stadium Bukit Jalil, jalan masuk ke istana negara, projek-projek perumahan dan pelbagai lagi projek.

Bagi projek di luar negara pula, AlloyMtd terlibat dengan pembinaan Jambatan Jamarat di Mina, Arab Saudi; projek Mass Rapid Transit (MRT) di Singapura; loji jana kuasa Jaffna di Sri Lanka, Lebuhraya Yangshuo-Luzhai, China; Lebuhraya Luzon Selatan (SLEX) di Filipina dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, tumpuan AlloyMtd ketika ini lebih terarah ke Filipina yang menyaksikan syarikat tersebut terlibat dengan pembinaan projek RGC atau dikenali juga sebagai `mini Putrajaya’.

Berbekalkan konsep pusat pentadbiran setempat seperti di Putrajaya, kepakaran syarikat itu amat ditagih oleh Filipina dalam usaha negara itu mengejar pembangunan yang dikecapi Malaysia.

AlloyMtd diberi kepercayaan setelah kerajaan Filipina terpikat dengan idea yang dikemukakan oleh syarikat itu untuk membina pusat pentadbiran baham wilayah-wilayah di negara itu berkonsepkan Putrajaya di Malaysia.

AlloyMtd terlibat dengan projek pembinaan pusat pentadbiran berkenaan sejak 2013 dengan pembinaan fasa pertama daripada empat fasa RGC Calabarzon di Calamba City dekat Manila.

Pada peringkat awal, ramai pihak di negara itu ragu-ragu dengan idea tersebut, tetapi setelah setahun berlalu dan fasa pertama RGC Calabarzon berjaya disiapkan awal daripada tarikh sepatutnya, keyakinan mula diberikan.

“Ketika itu mereka ragu-ragu dengan idea ini. Kami mengambil inisiatif membawa pihak-pihak terbabit melawat Putrajaya untuk mendapatkan gambaran, dan setelah siap fasa pertama ini, mereka amat kagum dengan konsep RGC dan banyak permintaan dan kerajaan-kerajaan wilayah pula untuk membina RGC di kawasan masing-masing.

“Untuk pengetahuan, kami telah pun menandatangani memorandum persefahaman dan mengadakan majlis pecah tanah terhadap dua projek pembinaan RGC di Vigan dan juga Palayan dekat sini. Selain itu, AlloyMtd juga sedang melihat kepada usaha membina RGC di Maguindanao yang menempatkan Bangsamoro,” jelas Azmil.

Untuk makluman umum, Filipina pada era 1980-an amat membangun, malah lebih ke hadapan jika dibandingkan dengan Malaysia dari aspek ekonomi serta infrastruktur pada ketika itu. Negara itu juga telah pun mempunyai perkhidrnatan Transit Aliran Ringan (LRT) seldtar 1980-an, lebih awal daripada Malaysia.

Walau bagaimanapun, berikutan pelbagai konflik di negara itu, termasuklah dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), pembangunan negara berkenaan tergendala sehinggalah ketinggalan jauh jika dibandingkan dengan Malaysia pada hari ini.

Disebabkan itu, Filipina di bawah pentadbiran Presidennya, Benigno Aquino III sedang mencari formula terbaik dalam usaha membangunkan semula negara tersebut.

Setiausaha Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan, Mar A. Roxas yang merasmikan fasa pertama RGC Calabarzon mewakili Aquino tanpa berselindung mengiktiraf idea serta binaan yang dibangunkan alloyMtd itu sebagai masa depan Filipina.

Roxas yang `dicanang’ masyarakat tempatan sebagai bakal pengganti Aquino satu hari nanti memberitahu, Filipina berbesar hati untuk bekerjasama dengan syarikat pembangunan, lebih-lebih lagi dari Malaysia yang disifatkan sebagai mempunyai hubungan yang sangat baik terutamanya membabitkan pemimpin kedua negara.

“Untuk mengukur tahap kejayaan yang dikecapi negara hari ini, RGC merupakan penanda arasnya.

RGC merupakan ‘masa depan Filipina’,” kata beliau.