News Details

AlloyMtd jual bangunan Shell RM138 juta
Date: Saturday, 17 May 2014
Category: Publication – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 16 Mei – Syarikat infrastruktur multinasional, Kumpulan AlloyMtd (AlloyMtd) menerusi anak syarikatnya, Alloy Properties Sdn. Bhd. mengumumkan untuk menjual bangunan Shell Malaysia kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan nilai RM138 juta.

AlloyMtd dalam kenyataan di sini menyatakan, pihaknya dan SKM telah memeterai perjanjian jual dan beli di ibu pejabat SKM di sini hari ini.

Jelas kenyataan itu, AlloyMtd diwakili Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Kumpulan AlloyMtd, Datin Nik Fuziah Nik Hussein manakala SKM diwakili Pengerusinya, Datuk Nik Ali Mat Yunus.

"AlloyMtd mengambil alih Bangunan Shell Malaysia pada 2003 dan memajak bangunan itu kepada Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. sehingga 15 Mac 2014," menurut kenyataan tersebut.

Bangunan itu merupakan bangunan pejabat setinggi 12 tingkat dengan mempunyai tempat meletak kenderaan bawah tanah dan terletak di lokasi yang strategik iaitu di Changkat Semantan, Bukit Damansara di sini.