News Details

AlloyMtd bida projek di Filipina
Date: Thursday, 15 May 2014
Category: Publication – KOSMO!

AZMIL (kanan) bersalaman dengan Pacquiao dan Singson (kiri) selepas mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Kumpulan AlloyMtd (AlloyMtd) akan meneroka peluang-peluang perniagaan dan projek-projek pembangunan prasarana di Filipina dengan lebih agresif selepas kejayaan membangunkan South Luzon Expressway (SLEX).

Optimis dengan kejayaan tersebut, syarikat kini telah membida projek baharu untuk membangunkan sistem tol lebuh raya tertutup yang menghubungkan SLEX dan Manila Cavite Expressway (CAVITEX) sepanjang 47 kilometer di Filipina bernilai 35.4 bilion peso (RM2.6 bilion).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AlloyMtd, Datuk Dr. Azmil Khalid berkata, melalui syarikat pelaburannya, MTD Capital Berhad kini merupakan antara empat syarikat yang telah disenarai pendek untuk melaksanakan projek berkenaan.

Jelasnya, keputusan bidaan tersebut akan diketahui pada bulan Jun ini.

"Kami merupakan satu-satunya pembida asing di negara itu dan kami optimis untuk mendapat projek ini berdasarkan reputasi kami sebelum ini.

"Ketika ini, Kumpulan AlloyMtd juga sedang melaksanakan pembangunan Regional Government Center yang digelar sebagai mini Putrajaya di Calamba City Council dan dijadual dilancarkan pada pertengahan tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat bersama juara tinju dunia yang juga merupakan Ahli Kongres Sarangani, Manny Pacquiao dan bekas Gabenor Ilocos Sur, Chavit Singson di sini semalam.

Kunjungan Pacquiao dan Singson bertujuan untuk membantu AlloyMtd meneroka peluang-peluang perniagaan yang terdapat di bahagian selatan dan utara Filipina.

Azmil menjelaskan, kedua-dua wilayah tersebut mempunyai potensi yang tinggi untuk projek-projek pembangunan prasarana.

"Kami baru pertama kali bertemu dan berbincang dan belum ada sebarang yang khusus. Kami akan melihat parameter yang lebih meluas terlebih dahulu sebelum menjurus ke arah projek-projek yang lebih spesifik," ujarnya.